Sunday, December 23, 2012

Tunggakan gaji hampir $1j selesai


BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Dis - Jabatan Buruh telah berjaya menangani kes tuntutan gaji tertunggak seramai 269 pekerja asing membabitkan pembayaran hampir $1 juta menerusi hasil rundingan dan tindakan bersama majikan mereka.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, susulan laporan sebuah akhbar tempatan pada 23 Oktober lalu, berhubung dengan aduan yang dibuat oleh 75 orang pekerja asing mengenai dengan gaji yang tidak dibayar, Jabatan Buruh menerusi Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, telah menjalankan siasatan dan mendapati seramai 269 orang pekerja asing dan juga tempatan terlibat dengan pertikaian kerja tersebut.
"Pekerja-pekerja ini adalah dari Syarikat Bina Mega Sendirian Berhad bergiat dalam kegiatan pembinaan projek-projek Kerajaan. Gaji yang tertunggak bagi pekerja-pekerja yang terlibat adalah dari bulan Mei 2012 sehingga November 2012.
"Hasil rundingan dan tindakan bersama Majikan, maka Jabatan Buruh berhasil menangani kes pertikaian tersebut iaitu tunggakan gaji termasuklah biaya tambang pemulangan bagi sebahagian pekerja-pekerja asing yang dijamin yang semuanya berjumlah kira-kira B$951,000," kata kenyataan itu. Menurut kenyataan itu lagi, pembayaran semua gaji yang tertunggak bagi pekerja-pekerja asing yang berada di negara ini dibuat di Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh selama 2 hari iaitu pada Hari Rabu, 19 Disember 2012 dan Hari Khamis 20 Disember 2012.
Pemulangan pekerja-pekerja yang tamat kontrak perkhidmatan juga akan diselaraskan oleh Jabatan Buruh. Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh mengingatkan semua majikan dan orang ramai bahawa gaji hendaklah dibayar tepat pada waktunya sepertimana kehendak Perintah Pekerjaan 2009, Bab 39.
Sesiapa yang didapati bersalah di bawah Bab ini, boleh dikenakan denda tidak melebihi $3,000.00 atau Penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali. Sebarang maklumat dan pertanyaan mahupun aduan berhubung dengan isu perburuhan, bolehlah menghubungi Jabatan Buruh di talian 2381848.

No comments:

Post a Comment