Sunday, December 23, 2012
30 belia sertai Program Hidayah
TUTONG, 21 Dis - Seramai 30 belia telah menyertai Program Hidayah "Bengkel Pengurusan Jenazah dan Tadarus Al-Quran" anjuran Jabatan Belia dan Sukan cawangan Daerah Tutong bertempat di Pusat Belia Daerah Tutong.
Dalam sesi temu bual bersama Ketua Cawangan Belia dan Sukan Daerah Tutong, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, beliau telah menyatakan bahawa program ini adalah merupakan salah satu usaha jabatannya untuk mewujudkan belia yang cemerlang melalui perancangan aktiviti-aktiviti sepanjang tahun dengan menerapkan berbagai kluster yang merangkumi sosial, keusahawanan, kebudayaan dan keugamaan.
Menyentuh mengenai Program Hidayah ini, beliau turut menerangkan bahawa program ini telah dilaksanakan selama tiga sesi di mana sesi pertama dan kedua mengandungi pembelajaran cara-cara pengurusan jenazah orang Islam, sementara sesi ketiga ialah Tadrus Al-Quran.
Program seumpama ini memang dirancang setiap tahun bagi memenuhi kehendak Dasar Belia Negara bagi memastikan belia-belia di Negara ini mengambil berat akan kepentingan mempelajari ilmu-ilmu ukhrawi ke arah keseimbangan hidup di samping mempelajari ilmu-ilmu duniawi sebagai keperluan hidup, jelasnya.
Beliau juga mengharapkan program ini akan dapat mencapai matlamat dan tujuan penganjurannya iaitu menyampaikan dan memberikan ilmu pengetahuan serta pendidikan sama ada dari segi fizikal dan rohani ke arah memupuk perkembangan sahsiah belia-belia supaya menjadi belia yang pemedulian dan sensitif dengan keadaan sekeliling terutama terhadap orang-orang yang memerlukan pertolongan.
Program ini telah diakhiri dengan Majlis Penyampaian Sijil kepada 30 orang peserta yang menyertai Program Hidayah "Bengkel Pengurusan Jenazah dan Tadrus Al-Quran" bagi tahun 2012. Hadir selaku tetamu kehormat dalam majlis Penyampaian Sijil kepada para peserta ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Awang Haasan bin Amat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment