Ibu Tunggal warga emas Dayang Hadijah, sering
melinang air mata setiap kali menemui ketua kampung untuk mengadukan
tentang nasibnya yang belum terbela.
KUALA BELAIT, 21 Dis - Seorang ibu tunggal melahirkan rasa kecewa dan sedih kerana
usahanya selama ini mengajukan beberapa permohonan kepada pihak
berkenaan untuk mendapatkan sebuah berek sementara kerajaan untuk tempat
kediamannya sehingga kini belum menerima jawapan dan sebarang tindak
balas.
Dayang Hadijah binti Abdullah, 60-an, masih terpaksa
menyara dua orang anaknya yang sudah dewasa tetapi belum mempunyai
sebarang pekerjaan, dan sumber pendapatan wanita warga emas itu hanyalah
pencen gaji tua $250 setiap bulan di samping turut menerima agihan wang
zakat Majlis Ugama Islam Brunei setiap tahun.
Ketua Kampung
Mumong Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin memberitahu bahawa
beliau juga turut berdukacita kerana telah berusaha memberikan sokongan
dan menyampaikan permohonan ibu tunggal itu kepada pihak berkenaan untuk
mendapatkan berek sementara kerajaan untuk tempat wanita itu berserta
dua orang anaknya berteduh kerana pada masa ini tidak mempunyai tempat
kediaman yang tetap selain hanya menumpang di rumah anaknya yang lain di
Kuala Balai yang juga mempunyai tanggungan yang ramai, tetapi sehingga
kini belum menjadi kenyataan.
Menurutnya lagi, setiap kali
wanita warga emas dan ibu tunggal itu menemuinya dengan linangan air
mata mengadu tentang kurang perhatian dan layanan daripada anak-anak
tempatnya menumpang pada masa ini, selain kedua-dua orang anak yang
masih dalam tanggungannya juga tiada pernah menerima sebarang pembelaan
daripada ayah mereka.
"Tapi apakan daya saya sebagai Ketua
Kampung dalam menangani masalah sedemikian, selain hanya menyampaikan
kepada pengetahuan pihak-pihak agensi berkenaan untuk mendapatkan
bantuan sepatutnya, ke atas masyarakat seperti Dayang Hadijah yang
sangat memerlukan pertolongan pada masa ini," kata Yang Berhormat Awang
Haji Mohd Yusof.
Menurut Ketua Kampung, wanita ibu tunggal itu
terpaksa berpindah randah di rumah dua orang lagi anaknya yang sudah
berkeluarga untuk mencari keselesaan, ketenangan hidup, dan berharap
akan segera ada penghujungnya apabila mendapat bantuan berek sementara
Kerajaan untuk menempatkannya dengan tenang bersama dua lagi
anak-anaknya yang masih bergantung sepenuhnya kepada ibunya itu.
Dayang Hadijah, merupakan seorang mualaf berbangsa Cina, pemegang kad
pengenalan kuning, telah membuat banyak rayuan memohon tempat tinggal
termasuk kepada Jabatan Pembangunan Masyarakat, Majlis Ugama Islam
Brunei serta bahagian Pusat Da'wah Islamiah Daerah Belait, termasuklah
pernah menghadapkan permohonan kepada Pegawai Daerah Belait melalui
Ketua Kampung Mumong, tempat permastautinan wanita itu.
No comments:
Post a Comment