Sunday, December 23, 2012

Tawaran harga istimewa yang ditawarkan di pusat membeli-belah.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Dis - Berbelanjalah di negeri sendiri, itulah harapan pihak Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dengan penganjuran Brunei Salebration (BSb) 2012 yang telah membukakan tirainya selama 49 hari bermula 26 November hingga 13 Januari 2013 di mana setiap minggu jualan akan mengetengahkan tema tersendiri dengan tawaran hebat dari kedai-kedai yang mengambil bahagian dalam jualan besar-besaran berkenaan.

Jualan selama 49 hari itu, bermatlamat untuk menyumbang ke arah meningkatkan kegiatan ekonomi negara menerusi promosi jualan yang menarik di samping diharap akan dapat menggalakkan orang ramai terutamanya penduduk Brunei untuk membeli-belah di negara sendiri.

Sehubungan itu, tinjauan Media Permata di kawasan membeli-belah di Gadong, mendapati kain-kain rentang yang mempromosikan BSb 2012 dan juga kedai-kedai yang menawarkan potongan harga istimewa bersempena dengan BSb 2012.

Konsep BSb 2012 seperti yang diperkenalkan pada 2011 mengekalkan tema mingguan di mana semasa tempoh tema mingguan itu, peserta yang menyertai BSb 2012 akan menawarkan potongan istimewa pada minggu berkenaan.

Namun begitu, setiap peserta jualan berkenaan adalah dialu-alukan untuk menyertai tema jualan serta menawarkan potongan harga istimewa sepanjang juaglan.

Tema-tema mingguan itu adalah bagi Minggu Produk dan Perkhidmatan Tekstil bermula dari 26 November hingga 2 Disember lalu, Minggu Produk dan Perkhidmatan Kembali ke Sekolah yang bermula dari 3 Disember hingga 9 Disember, Minggu Produk dan Perkhidmatan Kecantikan, Kesihatan dan Barang Kemas yang bermula dari 10 hingga 16 Disember, Minggu Produk dan Perkhidmatan Perhiasan Dalaman Rumah yang bermula dari 17 hingga 23 Disember, Minggu Produk dan Perkhidmatan Perabot bermula dari 24 hingga 30 Disember, Minggu Produk dan Perkhidmatan Kenderaan Bermotor bermula dari 31 Disember hingga 6 Januari 2013 serta Minggu Produk dan Perkhidmatan Elektronik dan Elektrikal bermula dari 7 hingga 13 Januari.

Semasa jualan itu, peserta BSb akan menawarkan potongan harga tidak kurang dari 20 peratus ke atas sekurang-kurangnya 60 peratus dari semua stok barangan akan ditawarkan potongan barang kecuali peserta gedung-gedung perniagaan mengikut kategori barangan.

Sementara itu, bagi stok barangan yang melebihi 60 peratus, potongan harga selebihnya boleh ditawarkan di antara 20 peratus hingga 10 peratus di mana kedai-kedai dikehendaki untuk memberikan promosi sampingan seperti menawarkan belian atas belian, hadiah, baucar, kupon serta tawaran yang bersesuaian dan berfaedah.

Peserta-peserta jualan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Harga Penggal 142 Seksyen 5, setiap barangan jualan dikehendaki mempamerkan tanda harga dengan jelas serta nyata dan bagi BSb, setiap barangan yang ditawarkan mesti mempamerkan dan mempunyai dua tanda harga iaitu harga asal serta harga berdiskaun.

Bagi orang ramai yang ingin untuk mengenali peserta-peserta BSb, peserta-peserta berkenaan dimestikan untuk mempamerkan sijil penyertaan dari JPKE di kawasan perniagaan masing-masing supaya mudah dilihat oleh para pengunjung.

Pada masa yang sama, orang ramai juga diharap akan memberikan sokongan padu kepada usaha berbelanja di negara sendiri menerusi BSb 2012 dan mereka juga diseru untuk berhati-hati serta bersikap bijak ketika berbelanja dengan membuat perbandingan harga bagi barang-barang yang ditawarkan semasa jualan berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan mengenai dengan pengendalian jualan yang tidak betul atau meragukan yang dilakukan oleh peserta BSb, mereka boleh menghubungi JPKE di talian hotline, 2230223 semasa waktu bekerja atau memberikan maklumat melalui e-mel, aduanpengguna@jpke.gov.bn.

Pihak JPKE menasihatkan orang ramai lagi supaya bagi memudahkan lagi penyiasatan untuk dijalankan terhadap aduan yang dibuat, mereka harus menyertai maklumat seperti nama kedai, jenis barang, harga, tarikh dan resit belian barang perlu diberikan dengan setiap borang aduan perlu ditandatangani.

No comments:

Post a Comment