Sunday, December 23, 2012
Berangkat menghadiri Upacara Rasmi Penamatan Rali Kereta ASEAN-INDIA 201
NEW DELHI, Jumaat, 21 Disember. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Upacara Rasmi Penamatan Rali Kereta ASEAN-India di Vigyan Bhawan, New Delhi, India, hari ini.
Keberangkatan tiba Kebawah DYMM di VVIP Lounge, dialu-alukan oleh Perdana Menteri Republik India, Tuan Yang Terutama Manmohan Singh dan isteri.
Sejurus selepas semua Ketua-ketua Negara dan Kerajaan ASEAN hadir, Kebawah DYMM dijunjung ke South Plaza, Vigyan Bhawan berserta dengan Ketua-ketua Negara dan ASEAN yang lainnya untuk mengambil tempat duduk yang disediakan dan kemudian disembahkan Bendera Rali Kereta untuk dikibarkan semasa upacara itu.
Apabila Upacara Penamatan Rali Kereta bermula, Kebawah DYMM berkenan mengibarkan bendera bersama-sama dengan Ketua-ketua Negara dan Kerajaan ASEAN yang lain serta TYT Perdana Menteri Republik India.
Upacara itu juga menyaksikan ucapan-ucapan daripada Perdana Menteri Republik India, TYT Manmohan Singh, Perdana Menteri Kemboja, TYT Hun Sen selaku Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21, dan ucapan daripada President of Confederation of Indian Industry, Adi Burjorji Godrej.
Rali Kereta ASEAN-India telah bermula di kota bersejarah Yogyakarta, Republik Indonesia pada 26 November 2012 lepas perjalanan sejauh 8,000 kilometer yang merentasi sembilan buah negara telah disertai oleh seramai 124 peserta dari sebelas buah negara-negara ASEAN dan India. Perjalanan yang mengambil masa 22 hari telah sampai ke kemuncaknya di Guhawati, India pada 17 Disember lepas.
Rali Kereta bertujuan bagi mempamerkan hubungan ketamadunan yang akrab dengan negara-negara ASEAN, mencipta kesedaran awam, mendukung perhubungan, meningkatkan perdagangan, pelaburan, pelancongan dan hubungan sesama masyarakat di antara rantau ASEAN dan India.
Mengiringi keberangkatan Kebawah DYMM ialah Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment